Mohd Zainol, Noor Azmi (2014) Hubungan di antara program pembangunan kepimpinan, motivasi latihan dan keberkesanan latihan dalam Kor Infantri Tentera Darat Malaysia. Doctoral thesis, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
HUBUNGAN DI ANTARA PROGRAM (25p).pdf - Preview
Download (519kB)
HUBUNGAN DI ANTARA PROGRAM (Full).pdf - Full text
Restricted to Registered users only
Download (6MB)
Abstract
Program pembangunan kepimpinan (PPK) merupakan isu yang strategik dalam pembangunan dan pengurusan sumber manusia. Sorotan literatur menunjukkan bahawa PPK mengandungi tiga dimensi utama: reka bentuk kandungan kursus, peranan jurulatih dan sokongan pengurusan. Keupayaan organisasi merancang dan melaksanakan PPK secara teratur mampu meningkatkan motivasi pelatih untuk menghadiri, mempelajari dan menguasai pengetahuan, kemahiran, kebolehan, dan sikap positif melalui program tersebut. Seterusnya, keadaan ini boleh meningkatkan keberkesanan latihan, iaitu pemindahan latihan dan komitmen organisasi. Sungguhpun sifat perhubungan ini adalah penting, namun sedikit sahaja diketahui tentang peranan motivasi latihan sebagai pemboleh ubah mencelah yang berkesan dalam kajian literatur PPK. Oleh itu, kajian ini dilaksanakan untuk mencapai dua objektif utama: pertama, mengukur perhubungan di antara PPK dengan keberkesanan latihan. Kedua, mengukur peranan motivasi latihan sebagai pemboleh ubah mencelah di antara PPK dengan keberkesanan latihan. Kaedah soal selidik telah digunakan sebagai instrumen utama kajian untuk mengumpulkan sejumlah 343 borang soal selidik daripada para pemimpin Kor Infantri, Tentera Darat Malaysia (TDM). Dapatan analisis pengesahan faktor menunjukkan bahawa instrumen kajian ini adalah menepati piawaian kesahan dan kebolehpercayaan yang ditetapkan. Seterusnya, pengujian terhadap hipotesishipotesis telah dilaksanakan bagi menguji model kesan langsung dan model pemboleh ubah mencelah dengan menggunakan sampel keseluruhan (pemimpin Kor Infantri TDM) dan sampel berbeza (kumpulan pemimpin pertengahan dan kumpulan pemimpin rendah dalam Kor Infantri TDM). Keputusan analisis laluan model SmartPLS menghasilkan dua dapatan penting: pertama, elemen-elemen PPK (kandungan kursus, peranan jurulatih dan sokongan pengurusan) telah bertindak sebagai peramal yang penting kepada pemindahan latihan dan komitmen organisasi dalam sampel keseluruhan dan sampel berbeza. Kedua, motivasi latihan telah bertindak sebagai pemboleh ubah mencelah yang penting dalam perhubungan di antara PPK dengan pemindahan latihan dan komitmen organisasi dalam sampel keseluruhan dan sampel berbeza. Implikasi kajian ini memberikan sumbangan yang penting kepada teori, kaedah penyelidikan dan amalan pengurusan sumber manusia. Dari segi sumbangan terhadap teori, kajian ini telah mengesahkan bahawa motivasi latihan adalah pemboleh ubah mencelah yang penting di antara PPK dan keberkesanan latihan. Berdasarkan pemantapan kaedah penyelidikan pula, borang soal selidik kajian ini mencapai tahap kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi. Keadaan ini telah menghasilkan dapatan kajian yang tepat dan dipercayai. Akhir sekali, dapatan kajian ini boleh digunakan sebagai panduan pengamal untuk meningkatkan keberkesanan PPK dalam organisasi dengan memberi tumpuan terhadap cadangan-cadangan berikut: pertama, penambahbaikan kandungan dan kaedah pelaksanaan kursus. Kedua, pelaksanaan polisi pemilihan jurulatih dan staf pengurusan berdasarkan kelayakan akademik, sijil profesional dan pengalaman. Ketiga, memilih individu yang sesuai untuk mengikuti latihan. Keempat, menggalakkan gaya kepimpinan transformasi untuk meningkatkan kerja berpasukan yang kreatif dan inovasi bagi menjayakan sasaran kerja yang ditetapkan. Sekiranya cadangan-cadangan ini diberi perhatian yang sewajarnya, ia akan dapat meningkatkan motivasi para pemimpin untuk menjayakan matlamat dan strategi organisasi dalam era persaingan global.
Item Type: | Thesis (Doctoral) |
---|---|
Subjects: | U Military Science > U Military Science (General) |
Divisions: | Centre For Graduate Studies |
Depositing User: | Mr. Mohd Zulkifli Abd Wahab |
Date Deposited: | 23 Aug 2024 01:12 |
Last Modified: | 23 Aug 2024 01:12 |
URI: | http://ir.upnm.edu.my/id/eprint/484 |